Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Ia susulan penutupan dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Dungun iaitu Dewan Masjid Kampung Serdang dan Dewan Sivik Paka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 114 mangsa daripada 34 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di kawasan rumah mereka surut.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

"Keadaan cuaca ketika ini baik dengan ada beberapa kawasan mendung dan ia menggambarkan gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu berakhir.

"Bagaimanapun, kita sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan kesiapsiagaan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah masih dalam keadaan berjaga-jaga dalam tempoh monsun timur laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

"Kita turut menasihatkan penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko untuk sentiasa cakna daripada segi aspek perubahan cuaca semasa dan mangsa yang pulang ke rumah masing-masing diminta menjaga keselamatan kerana dikhuatiri ada binatang berbisa atau objek-objek tajam kesan daripada banjir," katanya.

Menerusi gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu kali ini, lebih 8,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 7,000 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 3:12 PM