ANTARA kawasan terjejas akibat banjir susulan hujan dan fenomena air pasang besar. FOTO Ihsan APM
ANTARA kawasan terjejas akibat banjir susulan hujan dan fenomena air pasang besar. FOTO Ihsan APM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hujan dan fenomena air pasang besar semalam menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Besut.

Pembukaan PPS di Balai Raya Kampung Pantai pada 11 malam tadi bagi menempatkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kawasan kediaman mereka dinaiki air dengan mendadak susulan air pasang besar.

"Keadaan ini mungkin bersifat sementara namun penilaian dan pemerhatian akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak menghampiri kawasan pantai untuk meninjau atau melakukan sebarang aktiviti kerana keadaan ombak yang tinggi berserta angin kuat.

"Implikasi daripada angin kencang itu membawa ombak yang agak besar di sebahagian besar pantai di Terengganu bermula dari Besut hingga Kemaman dan berisiko kepada orang ramai sekiranya menghampiri kawasan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak 17 Disember lalu pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 23 Disember lalu.

Menerusi gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu ketika itu, lebih 8,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 7,000 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 9:39 AM