Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Ia susulan penutupan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir iaitu tujuh di Dungun dan satu di Kemaman.

Kesemua mangsa banjir terdiri daripada 517 mangsa daripada 128 keluarga dibenarkan pulang secara berperingkat sejak tengah hari.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, semua PPS ditutup secara rasmi pada 2 petang.

Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini baik dengan ada beberapa kawasan mendung dan ia menggambarkan gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu berakhir.

"Bagaimanapun, kita sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan kesiapsiagaan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah masih dalam keadaan berjaga-jaga dalam tempoh monsun timur laut yang dijangka berlarutan sehingga Mac ini.

MUHAMMAD Shafiq melihat barangan dalam rumah keluarganya yang terpaksa dibuang kerana rosak akibat banjir di Kampung Kuala Jengal, Dungun. FOTO BERNAMA
MUHAMMAD Shafiq melihat barangan dalam rumah keluarganya yang terpaksa dibuang kerana rosak akibat banjir di Kampung Kuala Jengal, Dungun. FOTO BERNAMA

"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora hingga esok dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan fenomena air pasang besar hingga Khamis ini.

"Kita nasihatkan semua penduduk terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko untuk berjaga-jaga untuk tidak menghampiri pantai sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Dalam gelombang kelima banjir yang melanda negeri itu, hampir 14,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu lebih 12,000 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 4:41 PM