ZULKIFLI (tengah) menyampaikan replika cek kepada Hasni Zainizam pada program Is-ad al-Usrah dan Musaadah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
ZULKIFLI (tengah) menyampaikan replika cek kepada Hasni Zainizam pada program Is-ad al-Usrah dan Musaadah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) sebulat suara mengambil ketetapan vaksin Covid-19 wajib diberikan kepada petugas barisan hadapan.

Muzakarah yang dihadiri semua Mufti itu bersidang dua minggu lalu yang antara lain membincangkan aspek berkenaan berikutan langkah kerajaan mendapatkan bekalan vaksin itu dari luar negara.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pemberian vaksin secara wajib kepada petugas barisan hadapan penting kerana mereka menghadapi risiko tinggi dijangkiti pandemik Covid-19 ketika bertugas.

"Vaksin itu harus diambil oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambilnya secara sukarela," katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada program Is-ad al-Usrah dan Musaadah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) di perkampungan nelayan, Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini tadi,

Turut hadir, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

Pada program berkenaan, Zulkifli menyampaikan sumbangan YADIM sebanyak RM14,500 kepada nelayan, Hasni Zainizam Hassan, 43, untuk menjalankan kerja pembaikan bumbung rumahnya yang sudah uzur, selain RM500 bagi melakukan kerja yang sama untuk enjin motor sangkut yang rosak.

Zulkifli turut menyampaikan wang dan bahan makanan kepada beberapa nelayan yang tertekan akibat pandemik Covid-19.

Mengenai dana bantuan YADIM, Zulkifli berkata, agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu sudah membelanjakan RM360 juta untuk membantu rakyat yang menerima kesan langsung akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Katanya, sukarelawan YADIM daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini menumpukan usaha membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Pada 10 Disember lalu Zulkifli dilaporkan berkata, Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam

kalangan umat Islam.

Katanya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin Covid-19 itu sudah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas mesyuarat muzakarah berkenaan seminggu sebelum itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini pada suku pertama tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 7:10 PM