GAMBAR  hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 3 Dis lalu yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, PMWP menyokong sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula penghujung Februari ini.

"Dari aspek kepenggunaan pula, katanya hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini," katanya.

Luqman berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada Khamis lalu yang diadakan renteran timbulnya pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin itu.

Sehubungan itu, katanya PMWP menyeru seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan agar menghormati fatwa yang diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Luqman berkata, fatwa itu diputuskan selepas melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

"Tambahan pula, ia juga satu daripada usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih efisyen," katanya.

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar menjadikan fatwa itu sebagai rujukan utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 11:48 AM