GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan memperoleh pendapatan hasil kutipan cukai perkhidmatan digital hampir RM428 juta setakat 11 Disember lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, cukai berkenaan dikenakan kepada penyedia perkhidmatan digital yang beroperasi di negara ini.

Katanya, ia satu hasil baharu akibat perkembangan multimedia dan teknologi maklumat yang memberikan pulangan baik kepada masa depan ekonomi negara.

"Ini kerana banyak penyedia perkhidmatan ini datang dari luar negara ini yang menjual perkhidmatan mereka di Malaysia sebelum mereka dikenakan cukai dan ini memberikan hasil kepada kerajaan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, cukai dikenakan ke atas penyedia platform digital yang mencapai nilai ambang RM500,000 itu juga bagi memastikan aliran wang tunai ke luar negara dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan juga berjaya mengutip cukai perkhidmatan berjumlah RM11.8 bilion setakat November lalu.

"Dianggarkan jumlah setiap bulan kutipan ialah RM100 juta dan dijangka jumlah itu meningkat kepada RM12 bilion pada Disember 2020," katanya.

Cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus dikenakan kepada penyedia perkhidmatan terbabit di Malaysia bermula 1 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:59 PM