GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu adalah bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

"Bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

"Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) semalam.

Amir Hamzah berkata kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

"Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI)," katanya.

Beliau berkata sistem percukaian yang ditambah baik ini dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara, hasil tambahan itu dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Peningkatan kadar cukai perkhidmatan itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini, katanya.

Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Ini termasuk perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus manakala bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan.

Bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan terhadap kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).

Hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang berkenaan dan tidak terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan tersebut.

Cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar lapan peratus.

Ia termasuk perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

Kerajaan menjangkakan perubahan ini tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi, ia kerana kenaikan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan itu melibatkan beberapa perkhidmatan bercukai sahaja.

Senarai penuh perkhidmatan-perkhidmatan bercukai dan soalan lazim boleh didapati di https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/soalan-lazim/soalan-lazimpeluasa....

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 11:23 AM