Norsyazwani Nasri


KELUAR rumah kerana mahu membeli barang, tetapi singgah di premis judi melayan judi atas talian.

Itu alasan yang diberi kaki judi yang ditangkap dalam Ops Bersepadu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bertempat di Matang Family Cafe, Jalan Matang,di sini, petang semalam.

Dalam operasi 5.45 petang itu, tiga kaki judi lelaki tempatan berusia 18 hingga 61 tahun termasuk penjaga kaunter wanita berusia 24 tahun berasal dari Indonesia diberkas.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek sedang duduk di dalam premis terbabit ketika serbuan dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa barang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan judi atas talian.

“Kesemua suspek gagal memberikan alasan yang munasabah keberadaan mereka dipremis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihak polis turut merampas empat telefon pintar dan beg sandang yang digunakan untuk aktiviti perjudian.

“Tangkapan kesemua suspek dilakukan di bawah Perkara 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953.

“Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Batu 10 untuk tindakan lanjut dan ditahan reman mulai hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 4:47 PM