NELAYAN berdaftar di Melaka diberikan sumbangan RM2,000 untuk pemilik perahu dan RM250 untuk awak-awak. FOTO HASSAN OMAR
NELAYAN berdaftar di Melaka diberikan sumbangan RM2,000 untuk pemilik perahu dan RM250 untuk awak-awak. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Seramai 1,100 nelayan berdaftar di negeri ini bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan sumbangan RM2,000 melalui Belanjawan Negeri 2021 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM) Othman Ahmad berkata, sumbangan berkenaan dinantikan nelayan berikutan pelbagai masalah menghimpit kehidupan mereka, terutama pandemik Covid-19.

Beliau berkata, selain meringankan beban nelayan menjalani kehidupan dalam keadaan terpaksa bergelut dengan wabak berkenaan, sumbangan itu juga membolehkan mereka membuat persiapan sesi persekolahan anak masing-masing bulan hadapan.

"Alhamdulillah, sebelum ini tidak pernah berlaku dalam belanjawan negeri, ada peruntukan khas membantu meringankan beban nelayan tetapi semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengumumkannya.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Sulaiman semalam mengenai langkah kerajaan negeri menyediakan 'pemberian sekali' atau 'one off' RM2,000 kepada pemilik perahu dan RM250 untuk awak-awak melalui belanjawan berkenaan.

Ia bakal memberi manfaat kepada 1,100 nelayan berdaftar di negeri ini, sekali gus meringankan beban mereka.

Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata beliau amat menyanjung tinggi budi kerajaan negeri memberikan sumbangan itu berikutan kesukaran dihadapi nelayan sejak pandemik berkenaan melanda negara.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, nelayan tidak dibenarkan turun ke laut tetapi larangan itu dilonggarkan beberapa bulan selepas itu.

"Semasa tidak dapat turun ke laut, kami terpaksa menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan harian keluarga dan sekarang penderitaan kami itu diringankan dengan pemberian sumbangan itu," katanya.

Awak-awak, Abdul Rahim Azali, 34, berkata pemberian itu amat menggembirakannya dan ia dimanfaatkan untuk perbelanjaan keluarganya.

"Terima kasih banyak saya ucapkan kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu nelayan seperti kami dan kami menyanjung tinggi budi baik pemimpin," katanya.

Beliau berkata, walaupun RM250 mungkin tidak bernilai bagi mereka yang berpendapatan tinggi, ia amat bermakna bagi nelayan sepertinya yang rezeki mereka tidak menentu.

Pix 1: Othman Ahmad.

Pix 2: Nelayan berdaftar di Melaka diberikan sumbangan RM2,000 untuk pemilik perahu dan RM250 untuk awak-awak.

Pix 3: Mohd Ali (kanan) gembira menerima sumbangan kerajaan negeri.

Pix 4: Mohd Ali (kanan sekali) bersyukur dengan keprihatinan kerajaan membantu nelayan.

Pix 5: Abdul Rahim bersyukur dengan pemberian RM250 untuk awak-awak.

- Foto HASSAN OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:37 PM