SULAIMAN MD ALI. FOTO AMIR MAMAT
SULAIMAN MD ALI. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Pemotongan gaji Ketua Menteri Melaka dan EXCO negeri sebanyak 10 peratus serta pengumuman bantuan khas kewangan kepada penjawat awam di negeri ini antara pengisian Belanjawan Melaka 2021 yang dibentangkan hari ini.

Menerusi pembentangan belanjawan bertemakan 'Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia', Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sebagai usaha membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19, beliau bersama sembilan EXCO bersetuju membuat pemotongan gaji selama 12 bulan bermula Januari ini.

Katanya, ia akan disalurkan ke Tabung Bencana Negeri Melaka bagi membantu program membanteras Covid-19.

"Ia sebagai tanda prihatin kerajaan negeri dalam menyelami nasib rakyat dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas kewangan kepada semua 5,000 penjawat awam di Melaka sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar dua kali iaitu pada pertengahan bulan ini dan Januari depan.

Ia julung kerajaan negeri menyalurkan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji kepada penjawat awam.

"Sehubungan itu, saya memohon penjawat awam di negeri ini supaya jangan 'kahau' (cakap kasar) ketika melayan rakyat dan tak usah bermasam 'muko' (muka). Layanlah dengan adil dan saksama kepada semua," katanya.

Bagi menghargai khidmat pegawai syarak seperti imam, bilal, noja dan pembantu fardu kifayah (pengurus jenazah wanita) di seluruh negeri, bantuan tunai sekali bayar RM100 akan diberikan kepada mereka, selain penyediaan peruntukan RM2.35 juta bagi tujuan pembayaran elaun.

Sulaiman turut mengumumkan pengurangan 50 peratus bagi bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil membabitkan 10,715 peniaga seluruh negeri.

"Bermula bulan depan, inisiatif Melaka Bebas Berniaga akan dilaksanakan selama setahun dengan syarat peniaga perlu mempunyai lesen perniagaan serta patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Sejumlah RM1.48 juta juga disediakan sebagai bayaran saguhati secara sekali bayar kepada lebih 1,100 nelayan berdaftar di Melaka dengan setiap daripada mereka menerima RM2,000 bagi pemilik sampan dan RM250 untuk awak-awak.

"Kerajaan negeri juga akan menaja caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 325 pengayuh beca, 805 pemandu teksi serta kereta sewa di negeri ini. Peruntukan hampir RM200,000 bagi tempoh setahun itu juga disediakan untuk Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri," katanya.

Bayaran sekali bayar RM150 juga akan diberikan kepada ibu yang melahirkan anak mereka pada hari ini bermula jam 12 tengah malam tadi hingga jam 11.59 malam ini.

"Selain bayi yang lahir hari ini, kita juga akan meneruskan pemberian kepada semua bayi yang lahir di negeri ini melalui Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM50," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:55 PM