Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) diminta menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun kepada kerajaan Kedah terlebih dulu sebelum layak memberi sebarang kenyataan mencampuri urusan kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sudah beberapa kali menghantar surat meminta bayaran berkenaan kepada perbadanan itu sejak 2010 namun tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

"Surat terbaru dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun ini namun masih tiada jawapan dan bayaran sedangkan perbadanan itu menjana keuntungan dari sumber air Kedah sejak sekian lama.

"Untuk rekod Pulau Pinang menggunakan 1.1 juta liter padu air sehari berbanding Kedah sebanyak 800,000 liter padu sehari, PBAPP ini sudah jana banyak keuntungan daripada Sungai Muda kerana di sana banyak kawasan industri, sektor pelabuhan dan perkapalan berbanding Kedah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Jaseni Maidinsa yang menggesa kerajaan negeri menghentikan usaha melombong mineral jenis rare element earth (REE) di Sik dan Ulu Muda, Baling.

Isnin lalu, media melaporkan Jaseni turut meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE), dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) bekerjasama untuk menghentikan usaha terbabit.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PBAPP tidak wajar mencampuri urusan kerajaan negeri kerana Ulu Muda adalah di bawah bidang kuasa dan kedaulatan negeri Kedah.

Dalam masa yang sama, katanya, permit yang diberikan kepada syarikat berkaitan adalah meneroka dan bukan melombong seperti didakwa.

"Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) sendiri membayar sumber air mentah kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) namun PBAPP tidak berbuat demikian.

"Kita minta bayaran setiap satu meter padu sebanyak 10 sen daripada PBAPP. Jadi kalau tak boleh bayar tak payah komen mengenai negeri kita, itu saja nasihat saya.

"Tak payah nak ajar Kedah apa yang patut kita buat dan apa yang tak patut kita buat, kita faham dan tahu apa tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk melindungi bekalan air di negeri Kedah. Jiran Kedah seperti Pulau Pinang menumpang rahmat kawasan tadahan air di Ulu Muda," katanya.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM62 bilion.

Mineral jenis REE dan tidak beradioaktif didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

Berita berkaitan

Penerokaan mineral REE boleh jejas bekalan air di tiga negeri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 5:57 PM