MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Kerajaan Kedah akan memulakan proses rundingan rasmi berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah kepada Pulau Pinang tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk berbuat demikian bersama agensi berkaitan dari kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Selain menghantar surat, kita akan buat mesyuarat di peringkat pegawai, peringkat Exco dan mungkin sampai ke peringkat Ketua Menteri dan Menteri Besar.

"Kita akan buat seberapa segera yang boleh supaya rundingan rasmi dapat dijalankan, sebelum ini kerajaan negeri hantar surat rasmi setiap tahun untuk tuntut bayaran caj air mentah kepada Pulau Pinang namun tidak diendahkan," katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam bahawa kerajaan Pulau Pinang masih menunggu sebarang tindakan yang akan diambil Kerajaan Kedah berhubung tuntutan caj air mentah terhadap negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan melihat apa jenis tindakan memandangkan isu tuntutan itu tidak dibuat secara rasmi dan hanya melalui media saja.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita minta Kerajaan Persekutuan menjadi pemudahcara dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa di Parlimen pun minta Pulau Pinang bayar kepada Kedah. Saya dengar sendiri Tuan Ibrahim kata macam tu," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan beliau bersama pihak tertentu masuk ke kawasan pusat Hutan Simpan Ulu Muda bagi melihat sendiri punca air Sungai Muda di kawasan terbabit.

Katanya, beliau sanggup menempuh perjalanan yang lama bagi memastikan punca air sungai terbabit selepas ada pihak yang mendakwa terdapat punca air di Ulu Muda yang berasal dari sungai Thailand.

"Saya masuk di tengah-tengah Ulu Muda dekat Sungai Kuala Kasai, sebab ada orang 'pekak' dakwa Sungai Ulu Muda berpunca dari Thailand, namun saya pi (pergi) tengok sendiri lokasinya, yang sebenarnya Kedah dipisahkan dengan banjaran dengan Thailand.

"Tak ada sungai dari Thailand 'ragaih' (panjat) banjaran bukit tu mai (masuk) Kedah, yang ada tujuh sungai bercantum di Ulu Muda yang akhirnya mengalirkan bekalan air ke Sungai Muda," katanya.

Selain itu, dalam tinjauannya ke kawasan itu, beliau memberi jaminan bahawa bekalan air ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tidak akan terjejas.

Katanya, Kedah kini hanya menunggu Pulau Pinang membuat bayaran saja.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Tuntutan bayaran itu sudah dibuat kepada PBAPP sejak 2010, namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 4:05 PM