Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah memberi amaran kemungkinan Pulau Pinang tidak lagi menerima bekalan air Sungai Muda, sekiranya terus membuat pelbagai helah bagi mengelak membayar caj air mentah dari negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya memandang serius perkara itu berikutan Pulau Pinang sudah lama menjana keuntungan hasil sumber air mentah Kedah.

"Sekiranya Pulau Pinang tak bayar juga, tunggu sahaja, jika air tidak sampai ke sana nasib dia.

"Pulau Pinang tak payah berdalih kepada orang lain, kita minta mereka bayar cas air mentah, dengan Kerajaan Pusat kita tahu untuk minta pampasan," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa hari ini, bahawa Kedah sewajarnya menuntut pampasan untuk perlindungan undang-undang dan pemuliharaan Ulu Muda daripada Kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan menuntut RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat selepas menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pulau Pinang harus tahu membezakan antara bayaran air dan pampasan yang dituntut Kedah kerana ia adalah dua perkara yang berbeza.

"Sekarang ini Pulau Pinang yang guna air dari Kedah, tak kan nak suruh Kerajaan Pusat yang bayar air yang Pulau Pinang guna, itu pun tidak faham ke?

"Pampasan kita tahu nak minta, saya rasa cukup dah kot, Pulau Pinang patut berhenti bercakap, bayar sudah la," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah menghantar beberapa cadangan dan pandangan pakar dari segi teknikal kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk proses timbang tara bagi mengatasi hal itu.

"KASA akan jadi moderator untuk urus hal tuntutan bayaran cas air kepada Pulau Pinang, dulu saya sudah beri ingatan.

"Sekiranya Pulau Pinang membayar caj air, kita akan mengambil kira kepentingan negeri itu dalam semua projek bekalan air di Kedah termasuk projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dan baraj di Sungai Muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:21 PM