Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kebiasaannya penghantar makanan menunggang motosikal ataupun memandu kereta. Jarang kita melihat orang berbasikal untuk menghantar pesanan pelanggan.

Namun kelainan itu menjadi bualan penduduk daerah ini terutama selepas seorang daripada penghantar makanan berbasikal itu tular di media sosial, baru-baru ini.

Siti Khadijah Suhaimi, 29, berkata, sudah dua minggu dia menjadi penghantar makanan berbasikal dengan Food Panda dan mengambil tempahan dalam radius satu kilometer dari tempatnya.

Katanya, dia memilih pekerjaan itu selepas berhenti kerja pada Julai lalu disebabkan pandemik Covid-19.

"Mungkin sesetengah orang anggap ambil tempahan dengan cara berbasikal ini tidak untung sangat tetapi saya memilihnya kerana bagi saya, ia mencabar dan saya mahu berdikari dalam mencari rezeki.

"Mula-mula dulu memang malu tetapi saya lawan perasaan itu dan hanya fikir positif yang saya mampu buat semua ini. Lagipun berat badan saya turun empat kilogram selepas mengayuh basikal untuk hantar pesanan," katanya ketika ditemui hari ini.

Siti Khadijah menggunakan basikal untuk menghantar makanan di sekitar Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Siti Khadijah menggunakan basikal untuk menghantar makanan di sekitar Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia dimaklumkan rakan mengenai aplikasi Food Panda Walker bagi penghantar makanan berbasikal dan mencubanya selepas merancang bersama adik.

Sebelum ini, bekas penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Melaka dalam bidang pastri itu pernah melakukan dua kerja dalam satu masa sebelum ini iaitu bekerja di restoran makanan segera dan secara sambilan di hotel.

"Ibu dan ayah saya tidak menghalang sebaliknya memberi sokongan dan minta saya berhati-hati. Malah basikal ini pun ayah yang belikan dengan harga RM500 sebagai galakan kepada saya," katanya yang memberitahu tempahan terbanyak diterima sebanyak lapan untuk sehari.

Siti Khadijah berkata, ketika minggu pertama melakukan pekerjaan itu, dia menerima 24 tempahan sebelum jumlahnya meningkat pada minggu kedua.

"Saya anggap ini salah satu senaman juga, yang mana saya akan keluar rumah pada 11 pagi dan pulang pada 3 petang," katanya yang memberitahu terdapat 30 orang menjadi penghantar makanan berbasikal di bandar ini sepertinya menerusi aplikasi itu.

Mengenai cabaran, katanya, dia hampir diragut ketika melihat peta perjalanan di telefon bimbit untuk menghantar pesanan pada hari kedua.

Katanya, penunggang motosikal yang mahu meragut gagal berbuat demikian tetapi sempat menepis telefon bimbit itu menyebabkan ia jatuh dan retak.

"Ketika itu rasa nak menangis tetapi saya kuatkan semangat dan teruskan hantar makanan. Saya sedar dengan kecekalan apa cabaran mendatang pun saya boleh hadapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:49 PM