Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Seorang remaja mengetepikan rasa malu menjadi penghantar makanan dengan berbasikal demi mencari rezeki halal sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan kepada Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini.

Muhammad Syamil Mansor, 19, satu-satunya anak muda yang mengayuh basikal di bandar ini dan berdaftar di sebuah syarikat khidmat menghantar makanan untuk menjalankan pekerjaan demi pengalaman dan mencari sesuap nasi.

Dia yang berasal daripada Kampung Jalan Kemunting, Pasir Puteh, mula menjadi penghantar makanan sejak dua bulan lalu dan menarik perhatian ramai apabila hanya mengayuh basikal untuk menghantar setiap tempahan pelanggan.

"Sebenarnya, saya cuba berdaftar sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal, namun memandangkan kuota sudah penuh dan memerlukan masa untuk diluluskan, saya tanpa berfikir panjang mengambil keputusan untuk melakukannya dengan berbasikal.

"Ia suatu pengalaman yang bermakna buat saya, walaupun melalui pelbagai cabaran termasuk menahan lapar dahaga sepanjang Ramadan lalu, selain terpaksa mengayuh di bawah terik mentari dan kesejukan hujan.

"Namun, ia tidak menjadi masalah untuk saya memastikan setiap tempahan sampai pada masanya kepada pelanggan.

"Dengan berbasikal, saya hanya boleh membuat penghantaran sekitar radius dua kilometer (km) daripada pusat utama iaitu sebuah pasar raya, di bandar ini dan biasanya, dalam sehari saya hanya menerima 10 tempahan bermula 10 pagi sehingga 5 petang," katanya ketika ditemui berdekatan sebuah pasar raya, di sini, semalam.

MUHAMMAD Syamil menghantar makanan dengan berbasikal sejak dua bulan lalu. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Syamil menghantar makanan dengan berbasikal sejak dua bulan lalu. FOTO Syaherah Mustafa

Katanya, basikal yang digunakan untuk bekerja dibeli dengan harga RM300 hasil simpanan dan bantuan bapanya , Mansor Mahmud, 52.

Muhammad Syamil yang juga pemegang Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dari Kolej Vokasional Kuala Krai (KVKK) berkata, tujuan dia bekerja juga bagi membantu bapa yang mengambil upah di kedai perkakasan dan ibunya, Rohani Mustafa, 53, seorang suri rumah.

"Dengan pendapatan yang tidak seberapa ini, dapatlah saya meringankan beban keluarga selain membantu saya untuk membuat simpanan sendiri memandangkan ia adalah hasil kerja pertama saya selepas tamat belajar.

"Tambahan pula, dengan keadaan sekarang agak sukar untuk saya mendapatkan pekerjaan, jadi apa salahnya saya berbasikal mencari rezeki kerana ia kerja yang halal. Saya juga masih kuat dan sihat tubuh badan, tiada alasan untuk saya tidak melakukan kerja ini.

"Sejujurnya, ramai yang bersimpati apabila melihat saya bermandi keringat mengayuh basikal, malah tidak kurang juga yang menyuarakan kekaguman mereka atas usaha ini," katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Dia yang sentiasa murah dengan senyuman, mengakui ada sahaja yang menawarkan motosikal buatnya, namun masih memerlukan masa untuk menerimanya selain mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa peka dengan golongan nasib sepertinya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 9:36 AM