Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis mengesan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto dikenali 'Emas Fintech' yang mengaut keuntungan dengan 'meleburkan' wang mangsa kira-kira RM2.8 juta sejak April 2020.

Susulan itu, polis menahan sembilan lelaki berusia antara 34 hingga 62 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima 43 laporan dibuat oleh mangsa membabitkan kerugian sebanyak RM2.8 juta.

"Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai barangan termasuk 20 telefon bimbit, enam komputer riba, 12 kad kredit dan 10 kad mesin juruwang automatik (ATM) selain lima kenderaan mewah dan wang tunai RM27,600 dengan jumlah rampasan mencecah hampir RM2 juta.

"Siasatan mendapati sindiket menipu dengan menawarkan sistem pelaburan perdagangan mata wang digital dengan mendakwa mendapat kerjasama dengan 'exchanger' terkenal dunia seperti Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, sistem pelaburan menggunakan mata wang kripto atau bitcoin berkenaan menawarkan pelabur pulangan antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan.

ZAINUDDIN menunjukkan gambar suspek yang ditahan polis pada sidang media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZAINUDDIN menunjukkan gambar suspek yang ditahan polis pada sidang media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Mangsa didedahkan dengan pelaburan berkenaan menerusi seminar dianjurkan individu dikenali Ricky Wong dengan kaedah perjumpaan bersemuka dan sidang video.

"Pelabur seterusnya diberi log masuk pengguna dalam laman web Emas Fintech untuk melihat transaksi dagangan. Namun selepas Disember 2020, laman web itu ditutup dan tidak dapat diakses menyebabkan pelabur merasa ditipu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu dalang utama sindiket berkenaan dikenali Jason Kellady, 32, beralamat di C2-17-06, Parklane OUG, Jalan 1/152, Kuala Lumpur.

"Semua suspek dalam tahanan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA)," katanya.

Menurutnya, hanya tiga syarikat diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) bagi pelaburan mata wang digital ialah LUNO (M) Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd dan Sinegy Technologies (M) Sdn Bhd.

"Orang ramai boleh menyemak maklumat berkaitan daripada sumber rasmi seperti polis, SSM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk melabur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:21 PM