GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Wanita warga emas terpaksa berputih mata apabila kerugian RM4 juta selepas menjadi mangsa penipuan dengan sindiket pelaburan saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun, semalam.

"Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa melihat iklan pelaburan itu semasa melayari laman sosial dan seterusnya menekan pautan diberikan.

"Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan itu dan diberikan kelas, tips dan nota berkaitan pelaburan ditawarkan.

"Malah, mangsa juga dijanjikan pulangan sebanyak 380 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ramli berkata, mangsa yang terpedaya dengan taktik digunakan kemudian membuat pindahan wang ke 11 akaun syarikat diarahkan berjumlah kira-kira RM4 juta.

"Sehingga kini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan keuntungan dankes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

RAMLI Mohamed ketika sidang media. FOTO Eizairi Shamsudin
RAMLI Mohamed ketika sidang media. FOTO Eizairi Shamsudin

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara berusia 74 tahun yang terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan bitcoin.

"Berdasarkan siasatan awal dilakukan mendapati pengadu dihubungi seorang lelaki menerusi WhatsApp yang menawarkan pelaburan bitcoin pada 30 Oktober 2023.

"Pengadu kemudian diberikan pautan untuk tujuan pendaftaran dan mendepositkan wang pelaburan ke lapan akaun berbeza dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta," katanya.

Menurutnya, selepas mendepositkan wang itu, pengadu tidak pernah berjaya membuat sebarang pengeluaran keuntungan pelaburan berkenaan sehingga kini.

"Siasatan juga mendapati sindiket memperdaya pengadu untuk mempercayai lapan akaun bank diberikan kepadanya berfungsi sebagai 'Money Exchanger' memandangkan skim pelaburan disertainya adalah berasaskan matawang kripto.

"Pengadu yang baru sahaja menceburi pelaburan matawang kripto terpedaya dengan muslihat itu dan mengikuti semua arahan diberikan," katanya yang memaklumkan kes itu Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, setakat ini, JSJK sedang menyiasat 37 kes berkaitan pelaburan accerx membabitkan kerugian RM20.9 juta.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan menggunakan mata wang kripto digalakkan merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat.

"Setakat ini, hanya lima syarikat dibenarkan oleh pihak SC untuk melakukan urusan berkaitan mata wang kripto di Malaysia iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd, iMX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 2:40 PM