NOH (kiri) bersama penerima rumah baharu Hamidah Ahmed (duduk, berkerusi roda) ketika ditemui pada Program Bina Rumah Baru Asnaf di Kampung Bagan Tengkorak. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
NOH (kiri) bersama penerima rumah baharu Hamidah Ahmed (duduk, berkerusi roda) ketika ditemui pada Program Bina Rumah Baru Asnaf di Kampung Bagan Tengkorak. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Sejak 18 tahun lalu, Hamidah Ahmed, 61, yang juga orang kurang upaya (OKU), menghuni kediaman pusaka usang di Kampung Bagan Tengkorak di sini, yang kerap menjadi mangsa pencerobohan monyet, bersama suami, Mohamad Yusof Sedik, 68.

Pada masa sama, dinding rumah itu reput malah atap zink bocor menyebabkan air turut membasahi bahagian dalam kediaman apabila hujan.

Hari ini, pasangan berkenaan tersenyum syukur selepas menerima sumbangan rumah baru umpama 'istana' daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Hamidah kudung kaki kanan akibat penyakit kencing manis pada 2010 dan buta mata kiri sejak 10 tahun lalu berkata, dia berterima kasih kepada Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar yang sudi 'menghadiahkan' rumah baru itu.

"Sebelum ini (di rumah usang lama), sekiranya hujan, air turut menitis membasahi bahagian dalam rumah malah keadaan dinding kayu yang reput turut membimbangkan kami.

"Apa yang menyedihkan, kumpulan monyet turut menceroboh rumah dan membuang najis di merata tempat dan saya perlu membersihkannya hampir setiap hari.

"Kami tak mampu baiki kerana tiada sumber kewangan. Suami bekerja sebagai peraih ikan di Pasar Awam Sekinchan malah saya menerima bantuan bulanan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ditemui pada Program Bina Rumah Baru Asnaf hari ini.

Sementara itu, Noh berkata, PUNB menyampaikan sumbangan bagi membina enam rumah baru dan membaik pulih dua rumah dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, RM30,000 diperuntukkan untuk membina rumah baharu manakala RM10,000 untuk baik pulih rumah.

"Senarai penerima ini dikenal-pasti melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai asnaf dan layak menerima bantuan PUNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 5:04 PM