GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 5,218 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian RM256 juta di negara ini.

Timbalan Pengarah Siasatan (Jenayah) JSJK Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Rusli Mohd Noor berkata, angka itu direkodkan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Beliau berkata, apa yang menghairankan pihaknya kebanyakan mangsa penipuan membabitkan golongan profesional seperti pensyarah, doktor selain pegawai bank.

"Modus operandi digunakan adalah memaklumkan mangsa mempunyai rekod Jenayah atau saman dan jika mangsa tidak percaya, mangsa terus disambung talian ke jabatan tertentu kononnya bagi mengukuhkan kesalahan.

"Bagaimanapun, orang ramai perlu faham tiada jabatan yang boleh membuat sambungan secara terus ke jabatan lain.

"Kebanyakan mangsa ditipu kerana bersikap panik dan takut, sepatutnya jika tidak buat salah, mereka jangan takut, jangan ikut kata 'scammer', tetapi ada mangsa hanya buat laporan polis apabila dinasihatkan orang lain selepas sedar ditipu," katanya.

DATUK Rusli Mohd Noor (kanan) menerima cenderamata daripada Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (kiri) selepas merasmikan Balai Polis Bukit Yong,Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
DATUK Rusli Mohd Noor (kanan) menerima cenderamata daripada Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat (kiri) selepas merasmikan Balai Polis Bukit Yong,Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Polis Bukit Yong, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa membabitkan 52 peratus wanita dan selebihnya lelaki dengan anggaran kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000 seorang, malah ada rekod kerugian RM1 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,676 kes sudah diselesaikan dengan tangkapan dan seramai 1,240 individu didakwa.

"Ini menunjukkan masyarakat belum sedar sepenuhnya berhubung jenayah siber ini kerana penjenayah hanya menggunakan telefon untuk menipu mereka dengan mudah.

"Malah ada kes mangsa sanggup membuat pinjaman bank semata-mata mahu membayar saman atau denda 'diugut' scammer, sepatutnya maklumkan pada polis jika mendapat panggilan meragukan atau jangan layan panggilan itu," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, sebanyak 5,725 kes Macau Scam direkodkan manakala 4,962 kes direkodkan bagi 2018 yang menunjukkan jenayah berkenaan semakin meningkat.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dalam menerima panggilan selain menjaga nombor pin serta kad bank bagi mengelakkan dimanipulasi pihak ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 4:15 PM