Siti Rohana Idris

Pasir Puteh: Sebanyak 32 kenderaan membabitkan 96 individu diarah berpatah balik oleh pihak berkuasa di empat sekatan jalan raya di negeri ini, sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, selain tidak memiliki surat kebenaran, alasan yang tidak munasabah turut diberikan pengguna jalan raya bagi mencuba nasib masuk ke negeri ini menerusi empat sekatan jalan raya yang dibuat di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

"Pelbagai alasan diberikan, antaranya ingin menghadiri kenduri dan menziarah ahli keluarga yang sakit namun apabila ditanya lebih lanjut, mereka tak dapat beritahu.

"Memang anggota kami akan siasat sama ada betul atau tidak majlis kenduri diadakan atau keuzuran seperti yang dijadikan alasan kerana kami perlu bertindak tegas dan hanya urusan mustahak saja yang dibenarkan melepasi sekatan sempadan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di sekatan jalan raya Pachakan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang diperiksa kebanyakannya ditahan di sempadan Pasir Puteh dan Jeli manakala Gua Musang pula tidak ramai yang pulang ke Kelantan.

Menurutnya, sekatan jalan raya yang dibuat di Pachakan sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu kali pertama dilakukan menggabungkan anggota polis daripada dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

"Kami juga sudah mengenalpasti laluan alternatif yang biasanya digunakan dan anggota kerap melakukan rondaan bagi mengesan tiada yang dapat memasuki negeri ini tanpa kebenaran terutamanya dari lokasi zon merah," katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Azmir Damiri dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan minggu hadapan yang dipengerusikan olehnya bagi membincangkan persiapan banjir.

"Kita akan panggil ketua jabatan dan agensi penguat kuasa di peringkat negeri bagi membincangkan persiapan banjir yang akan tiba.

"Kelengkapan logistik sudah disediakan dan boleh digunakan bila-bila masa apabila diperlukan," katanya.

SHAFIEN bertanyakan sesuatu kepada pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya Pachakan, Pasir Puteh. FOTO Siti Rohana Idris
SHAFIEN bertanyakan sesuatu kepada pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya Pachakan, Pasir Puteh. FOTO Siti Rohana Idris

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 4:00 PM