Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Polis mewujudkan 154 pasukan pemantau di seluruh Kelantan bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat awam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pasukan pemantau itu akan ditempatkan di pusat-pusat rekreasi, peranginan, pasar raya, restoran dan tempat tumpuan yang lain.

"Pasukan ini mempunyai keanggotaan seramai 540 anggota termasuk pegawai polis bagi membuat pemantauan dan mengambil tindakan jika mendapati ada individu yang tidak mematuhi SOP.

"Mereka ini ada yang berpakaian seragam dan awam. Bagi yang pakai baju awam, mereka akan memakai vest polis sebelum mengambil tindakan kepada individu yang melanggar SOP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap rakyat negeri ini dan individu yang bakal pulang ke Kelantan supaya patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Pada perkembangan yang lain, Shafien berkata, sebanyak 16 SJR ditutup tengah malam tadi, namun empat SJR masih kekal iaitu dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Pasir Puteh.

"SJR ini kekal untuk membuat pemeriksaan menerusi Op Benteng dan menjaga keselamatan," katanya.

 SHAFIEN pada sidang media ketika lawatannya di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong di Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN pada sidang media ketika lawatannya di sekatan jalan raya (SJR) Bukit Yong di Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:21 PM