GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Amalina Alias


Bachok: Akibat termakan janji lelaki United Kingdom, seorang ibu tunggal kerugian RM615,000 selepas ditipu 'kekasih Mat Salehnya', April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pada mulanya, penjawat awam berusia 50 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan di laman Facebook (FB) yang mendakwa seorang ahli perniagaan.

Katanya, wanita itu mendakwa kekasihnya ingin menghantar hadiah berupa barangan kemas dan wang tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

"Pada akhir April, mangsa dihubungi kakitangan syarikat penghantaran mengatakan terdapat satu bungkusan dari England atas namanya dihantar kenalan FB.

"Mangsa bagaimanapun diminta membuat bayaran 'local charges' sebanyak RM1,350 ke satu akaun bank tempatan milik individu kononnya pegawai syarikat penghantaran.

"Selepas itu mangsa diarah membuat pelbagai jenis bayaran dan transaksi ke beberapa akaun milik individu berbeza sehingga berjumlah RM615,000," katanya dalam sidang media di Kampung Perupok, di sini, hari ini.

DEPUTI Komisioner Shafein Mamat ketika hadir di Kampung Perupok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DEPUTI Komisioner Shafein Mamat ketika hadir di Kampung Perupok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata, wanita itu diminta berbuat demikian kononnya bagi mendapatkan bungkusan dihantar kekasihnya yang mengandungi wang berjumlah AS$295,000 dan barang kemas bernilai AS$85,000.

Shafien berkata, mangsa terpaksa akur dan membuat pemindahan wang kerana diugut suspek daripada syarikat penghantaran yang kononnya akan membuat laporan kepada Kerajaan Malaysia dan bakal didenda RM5 juta serta penjara 15 tahun jika tidak membayar wang diminta.

"Bayaran itu kononnya untuk pelepasan tunai, insurans, sijil pelepasan United Nation, pengesahan bebas bahan kimia, cukai jualan negeri (SST) dan sijil anti pengubahan wang haram," katanya.

Mangsa membuat laporan di balai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Puteh selepas mengesyaki ditipu apabila berkongsi kejadian yang berlaku kepada ahli keluarga.

Shafien turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita supaya tidak mudah cair dengan cinta palsu 'love scam' yang menjerat wanita bekerjaya melalui laman sosial.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 9:18 PM