Syaherah Mustafa


BRIGED Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM10.28 juta bermula Januari lalu sehingga bulan ini.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, jumlah itu membabitkan tangkapan 296 suspek berbanding hanya 189 sahaja bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, kejayaan cemerlang itu hasil kerja keras tiga pasukan iaitu Batalion 7 PGA di Kuantan, Pahang; Batalion 8, PGA Pengkalan Chepa dan Batalion 9 yang berpangkalan di Kuala Terengganu sepanjang operasi di sempadan Malaysia-Thailand.

"Terdapat pelbagai kes dibanteras anggota PGA membabitkan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan lembu, dadah, ketum, rokok, beras dan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang aktif dilakukan melalui pangkalan haram sepanjang Sungai Golok.

"Dalam perancangan terbaru, kami membincangkan pembinaan menara tinjau di beberapa 'kawasan panas' sekitar Rantau Panjang, Jeram Perdah dan Kuala Jambu bagi memudahkan kawalan PGA mengesan kemasukan sebarang aktiviti penyeludupan.

"Selain itu, pembinaan kawat duri di 13 lokasi sebelum ini menunjukkan kesan positif apabila tiada lagi aktiviti rentas sempadan terutama membabitkan Pati, selain memudahkan kerja anggota bertugas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Op Benteng Covid-19 daripada PGA7 kepada PGA9 di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi dan Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof.

Hasan berkata, sepanjang sebulan PGA7 mengambil tugas bermula 16 Jun sehingga hari ini, pihaknya mencatat jumlah rampasan tinggi iaitu lebih RM4.5 juta membabitkan 91 kes dengan 112 tangkapan.

Beliau berkata, ia adalah kejayaan besar buat Briged Tenggara PGA selain sebagai bukti kerja keras anggota dalam memastikan jenayah rentas sempadan dikawal sepenuhnya.

"Namun, kerjasama baik daripada agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut memainkan peranan penting.

"Pihak PGA terus memberi komitmen terbaik bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan sebarang aktiviti penyeludupan dan sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan bangsa dan negara," katanya.

HASAN Basri (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Op Benteng Covid daripada PGA7 kepada PGA9 antara Azhari Nusi (kiri) kepada Nor Azizan di Markas Taktikal Lubok Stol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
HASAN Basri (tengah) menyaksikan Majlis Serah Tugas Op Benteng Covid daripada PGA7 kepada PGA9 antara Azhari Nusi (kiri) kepada Nor Azizan di Markas Taktikal Lubok Stol. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 3:56 PM