RUSLI  (dua dari kiri) bersama anggota UPP memeriksa sebahagian rokok pelbagai jenama dirampas.
RUSLI (dua dari kiri) bersama anggota UPP memeriksa sebahagian rokok pelbagai jenama dirampas.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Hampir RM10 juta rokok seludup pelbagai jenama disembunyikan dalam dua stor di Batu 2, Jalan Kuala Krai, di sini, dipercayai stok untuk musim perayaan ini.

Semua 88,520 karton rokok berkenaan diseludup dari China dan Vietnam untuk pasaran di negeri itu.

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan Rusli Karim berkata, pihaknya menyerbu dua stor itu 8 pagi kelmarin sejurus memperoleh maklumat dan risikan yang dijalankan.

“Difahamkan, stor itu baru dua atau tiga bulan beroperasi, khas untuk menyimpan rokok yang diseludup, dipercayai untuk kegunaan musim perayaan ini.

“Ketika serbuan, stor itu tidak berkunci dan tiada penjaga mahupun pemilik stor ditemui berdekatan.

“Pemeriksaan menemui 88,520 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM9,902,518.08 dan ia diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UPP, di sini, semalam.

Rusli berkata, rampasan itu yang terbesar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, UPP juga sedang menjalankan risikan bagi mengenal pasti stor dan bangunan lain yang berkemungkinan dijadikan pusat penyimpanan rokok seludup.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan ini dapat membantu pihak berkuasa dengan membuat laporan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 5:13 AM