Pusat Bandar Seremban. FOTO arkib NSTP
Pusat Bandar Seremban. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Seremban: Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di Seremban, Negeri Sembilan ditutup bermula esok hingga 18 November.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan itu merangkumi tadika, sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Kenyataan itu menyebut senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM, http://www.moe.gov.my dan platform media sosial rasmi KPM.

Menurut KPM, sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, http://www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di daerah Seremban bermula Khamis ini hingga 18 November.

Pelaksanaan PKPB itu meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 11:06 AM