DAERAH Seremban zon merah Covid-19. FOTO BERNAMA
DAERAH Seremban zon merah Covid-19. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di Seremban, Negeri Sembilan ditutup bermula esok sehingga 9 November ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan sebanyak 177 institusi pendidikan di seluruh daerah itu.

Menurutnya, bilangan itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan dimuat naik di portal KPM, www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.

"Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang," katanya.

Katanya, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

"Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan," katanya.

Menurut KPM, sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my.

"Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:14 PM