Danial Saad


Georgetown : Meminati seni tulisan khat dan jawi ternyata tidak sia-sia bagi seorang guru lelaki berbangsa Cina, di Bayan Lepas, apabila dia memenangi Anugerah Khas Pertandingan Seni Khat Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Ong Ma Vin,30 sehingga kini masih tidak menyangka memperoleh anugerah berkenaan memandangkan dia baharu dua bulan mempraktikkan diri dalam penulisan khat dan mengenali huruf Jawi secara asas.

Katanya, dia mula meminati seni tulisan khat dan jawi sejak tahun lalu dan mahu mempelajarinya kerana merasakan ia sesuatu yang menarik.

"Saya menggunakan platform media sosial untuk belajar dan laman sesawang itu kenal dan faham apa itu seni khat.

"Perlahan-lahan saya berlatih sehinggalah saya menemui mengenai pertandingan yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dengan Kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

"Apa yang mengejutkan pertandingan itu terbuka kepada semua yang mana bukan Islam juga boleh menyertainya lalu saya terus bertanyakan kepada seorang rakan guru Pendidikan Islam yang banyak membantu saya," katanya ketika ditemui di sini.

MA Vin (kiri) memenangi Anugerah Khas Pertandingan Seni Khat Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan. FOTO Danial Saad
MA Vin (kiri) memenangi Anugerah Khas Pertandingan Seni Khat Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan. FOTO Danial Saad

Ma Vin yang juga guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar berkata, rakan gurunya Irsaili Rafifi Ismail banyak membantunya dan mengajar mengenali tulisan jawi serta mempraktikan penulisan khat.

"Dalam tempoh dua bulan sahaja saya belajar, tidak sangka dan bersyukur hasil tunjuk ajar rakan, saya turut terpilih memenangi pertandingan itu.

"Selepas ini, Saya akan teruskan untuk lebih mengenali huruf Jawi bagi memudahkan menghasilkan seni khat selain menjadikan ia sebagai motivasi kepada semua untuk mempelajari perkara baru," katanya.

Jelasnya, sebanyak empat helai kertas seni khat dihasilkan sebelum dipilih bersama rakannya itu untuk dihantar bagi menyertai pertandingan berkenaan.

Ma Vin menerima hadiah wang tunai dan dapat berbual melalui panggilan video bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri simbolik majlis penyerahan hadiah pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:32 PM