Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz menunjukkan koleksi potret kaligrafi Perdana Menteri Malaysia di rumahnya di Jalan Taman Rumah Murah Ajil. FOTO Ghazali Kori
Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz menunjukkan koleksi potret kaligrafi Perdana Menteri Malaysia di rumahnya di Jalan Taman Rumah Murah Ajil. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


DUA cabang seni berbeza yang menghasilkan keindahan tersendiri apabila disatukan, itu yang dilakukan Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani, 28, menerusi gabungan karya lukisan potret dan seni kaligrafi khat.

Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz berkata, idea menggabungkan lukisan potret dan kaligrafi itu muncul apabila dia bereksperimen dengan pelbagai teknik khat.

“Mulanya saya cuma masuk pertandingan khat ketika tingkatan tiga dan dari situ timbul minat untuk kembangkan lagi bakat yang ada.

“Saya cuba dan kaji sendiri mengenai seni khat sebelum dapat idea untuk menggabungkannya dengan bakat melukis potret yang saya ada,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di studionya di Kuala Berang, semalam.

Menurutnya, dia banyak menghasilkan potret khat tokoh dan negarawan tersohor negara, antaranya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Ustaz Azhar Idrus.

“Saya susun dan ulang ejaan nama masing-masing sehingga terhasil potret wajah subjek yang dilukis,” katanya.

Menurutnya, dia kini menjadi artis potret kaligrafi sepenuh masa dengan mempromosikan perkhidmatannya di media sosial.

Katanya, secara purata dia menjual antara empat hingga lima karya sebulan dengan setiap satunya dikenakan caj sekitar RM500.

“Paling tinggi saya pernah jual karya pada harga RM1,000 ketika di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) dulu.

“Untuk promosi saya gunakan 100 peratus media sosial dan setakat ini 99 peratus pelanggan datangnya dari luar Terengganu. Memang ramai sangat yang hendak tempah sampai tak menang tangan.

“Masih ada 1,000 mesej di FB (Facebook) saya tak klik, sebahagian besarnya berkemungkinan daripada mereka yang berhajat membuat tempahan,” katanya.

Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz berkata, dia belajar sendiri cara menghasilkan karya khat sehinggalah bertemu guru berkelayakan ketika menyambung pengajian di USIM.

“Ketika belajar di USIM, saya sempat menyertai kelab khat dan dari situlah baru saya belajar secara betul teknik penghasilan dan jenis khat.

“Saya juga tidak menyesal menjadi penggiat seni ini sepenuh masa, lagipun saya amat meminati bidang ini,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa itu.

Muhammad Rosyaimi Amirul menyiapkan potret kaligrafi.
Muhammad Rosyaimi Amirul menyiapkan potret kaligrafi.

Muhammad Rosyaimi Amirul mempunyai kepakaran seni tulisan tangan tersendiri yang memodifikasi tulisan khat kepada lakaran wajah manusia. FOTO Ghazali Kori
Muhammad Rosyaimi Amirul mempunyai kepakaran seni tulisan tangan tersendiri yang memodifikasi tulisan khat kepada lakaran wajah manusia. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 10:43 PM