MOHD Shafie Apdal menunjukkan minyak masak keluaran negeri Sabah. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
MOHD Shafie Apdal menunjukkan minyak masak keluaran negeri Sabah. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


SABAH mengeluarkan produk minyak masak dengan jenama Gold yang dilancarkan hari ini.

Ia adalah keluaran salah satu syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah sebagai rakan kongsi Syarikat Intipati Sawit Kinabalu Sendirian Berhad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia adalah produk minyak masak keluaran kedua Sabah.

Menurutnya, dia yakin produk itu membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan menjana pelbagai faedah ekonomi negeri.

"Inisiatif pengeluaran produk minyak masak sawit ini adalah bertepatan dengan rencana pembangunan perindustrian negeri dalam usaha untuk mewujudkan sektor pembuatan.

"Usaha ini akan dapat mewujudkan ekonomi yang dinamik dan maju sekaligus merealisasikan aspirasi menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang maju," katanya ketika majlis pelancaran minyak itu di Sandakan, hari ini.

Mohd Shafie berkata beliau yakin keluaran produk minyak masak itu berupaya pergi jauh kerana kualiti dan mutu setanding dengan pengeluar minyak lain.

"Ia sudah tentu memenuhi permintaan di pasaran dan langkah yang saya alu-alukan kerana kilang berkenaan boleh mengeluarkan sebanyak 2,000 tan botol minyak masak.

"Saya difahamkan bahawa sasaran penjualan pasaran antarabangsa syarikat adalah sebanyak 3,000 tan metrik setiap bulan... dengan usaha gigih serta penuh fokus, saya yakin matlamat ini tidak terlalu rumit untuk direalisasi lebih jauh lagi," katanya.

Dalam majlis itu, beliau juga menyempurnakan upacara Penyerahan Kembali Ladang Sawit Bagahak Dua dan Tiga seluas 17,052 ekar kepada pekebun kecil Lahad Datu yang sekarang ini di bawah usahasama dengan Kumpulan Sawit Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 6:34 PM