Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Empat beranak membabitkan ibu, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki ditahan polis dipercayai memiliki 270 biji pil kuda ketika serbuan di rumah mereka di Kampung Bunut Susu, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dalam kejadian 10 malam itu, kesemua suspek berada di rumah sebelum anggota bertugas memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, anggota menemui pil terbabit yang disorokkan di bawah tikar pada bahagian ruang tamu rumah, katanya.

Keempat-empat beranak dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Kesemua ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, sehingga 22 Mac nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media Ops Bersepadu Tapis di IPD Pasir Mas, di sini, hari ini.

ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu Tapis. FOTO Syaherah Mustafa
ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu Tapis. FOTO Syaherah Mustafa

Operasi itu membabitkan 60 anggota termasuk polis dan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, dengan memfokuskan kawasan serbuan di Rantau Panjang, Lubok Stol, Kampung Kedap, Kampung Tok Uban, dan Bunut Susu, di sini.

Sheik Azhar berkata, 60 penagih ditahan membabitkan 43 kes pelbagai kesalahan dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(2), 39A(1), 12(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 1:42 PM