Rampasan  pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM120,000. dan turut menyita tiga buah kereta termasuk BMW dan lima buah motosikal dengan nilai keseluruhan hampir RM204,000 di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rampasan pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM120,000. dan turut menyita tiga buah kereta termasuk BMW dan lima buah motosikal dengan nilai keseluruhan hampir RM204,000 di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi lima individu termasuk dua beranak menerusi dua serbuan berasingan di Tanah Merah, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan di Kampung Tok Che Dol dan Gual Ipoh itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,800 biji pil yaba, heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM120,000.

Pada masa sama, polis menyita tiga kereta dan lima motosikal dengan nilai keseluruhan hampir RM204,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, serbuan pertama dilakukan pada 3.45 petang di sebuah bangsal di tepi jalan di Kampung Tok Che Dol.

"Kami menahan tiga lelaki berusia 22 hingga 28 tahun dan merampas 800 biji pil yaba bernilai RM8,000 serta menyita dua motosikal bernilai RM10,000.

"Hasil siasatan mendapati, tiga suspek itu mempunyai antara satu hingga lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah serta ujian air kencing didapati positif methamphetamine," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sheik Azhar berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Gual Ipoh pada 4.30 petang sebelum dua beranak berusia 18 dan 60 tahun ditahan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek iaitu bapa dan anak ditahan ketika berada di dalam rumah dan luar rumah.

"Hasil pemeriksaan di hadapan rumah iaitu kawasan semak menemui 5,000 biji pil yaba, 26 botol heroin seberat 104 gram (g) dan 100g syabu bernilai RM112,000.

"Kami merampas kereta milik dua beranak berkenaan iaitu sebuah BMW, Perodua Myvi dan Proton Satria serta tiga motosikal dengan nilai keseluruhan RM193,829," katanya.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kelima-lima suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Tanah Merah sejak awal tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya percaya kereta mewah dirampas itu adalah hasil daripada penjualan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 5:22 PM