BELANJAWAN Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 November depan adalah amat penting kepada rakyat. FOTO BERNAMA
BELANJAWAN Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 November depan adalah amat penting kepada rakyat. FOTO BERNAMA
Hayati Ibrahim; Amir Abd Hamid; Raja Noraina Raja Rahim; Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen wajar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, supaya menumpukan kesejahteraan rakyat ketika Covid-19 berbanding tindakan mengganggu gugat kestabilan kerajaan.

Penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, sebagai warganegara yang taat, patuhlah dengan saranan Baginda.

Beliau berkata, Baginda sudah pun memberikan keyakinan dan kepercayaan dengan kerajaan sekarang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya menangani isu Covid-19 dengan baik.

"Paling jelas tiada perisytiharan darurat jadi permintaan Perdana Menteri (PM) tidak berjaya.

"Namun, pada sama PM diberikan pujian oleh Baginda kerana kerajaan berjaya menangani Covid-19 dengan baik dan disebabkan itulah tiada keperluan untuk darurat.

"Dari segi jumlah kes, negara kita di tangga ke-88, jadi darurat berdasarkan Covid-19 tak perlulah sebab negara sudah berjaya menanganinya dengan baik," katanya.

Jumaat lalu Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang selama satu jam setengah dan dipersembahkan taklimat cadangan yang dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Baginda.

Permohonan Perdana Menteri ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Seterusnya, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam, untuk berbincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Muhyiddin dan hasil syura itu negara tidak diisytiharkan darurat selain menyarankan semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan politik mengurangkan berpolitik untuk membantu Perdana Menteri menguruskan negara dalam waktu sukar Covid-19.

Baginda turut bertitah, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 November depan adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, adalah jelas adalah saranan daripada Baginda kepada 222 Ahli Parlimen.

Katanya, ikut peraturan, prosedur perlembagaan, belanjawan negara mesti dibentangkan di parlimen.

"Seterusnya kena dapatlah persetujuan dan sokongan Ahli Parlimen untuk diluluskan.

"Berdasarkan kenyataan media Istana Negara semalam, Baginda umpama hendak menyarankan dengan bersungguh-sungguh kepada semua Ahli Parlimen supaya memberikan sokongan kepada usul belanjawan khususnya untuk menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

"Apa pun, kita kena lihat kepada peraturan, perlembagaan dan sebagainya bahawa setiap Ahli Parlimen mempunyai kuasa sendiri sama untuk bersetuju atau tidak setuju, menyokong atau tidak menyokong (Belanjawan 2021)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 1:24 PM