GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sidang Khas Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat dan dijangka dilakukan secara bersemuka.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, persidangan Parlimen kali ini bukan persidangan yang lazimnya diadakan mengikut jadual penggal sebaliknya diadakan bagi membincangkan isu Covid-19 dan masalah rakyat.

Katanya, persidangan Parlimen mengikut penggal memerlukan notis 28 hari dikeluarkan sebelum sesuatu persidangan boleh bermula.

"Ini bukan sidang Parlimen biasa kerana Sidang Khas Parlimen kali ini akan dibuka sesegera mungkin dalam masa terdekat.

"Sidang Khas Parlimen kali ini dijangka akan diadakan secara bersemuka, namun perinciannya masih belum dimuktamadkan. Ia akan dimuktamadkan dulu sebelum pengumuman rasmi dibuat.

"Oleh itu, petang ini Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan mengadakan mesyuarat secara hibrid bagi membincangkan isu ini bersama Jawatankuasa Pemandu," katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dilaporkan sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pagi tadi, Azhar Azizan serta Mohd Rashid dilaporkan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Turut menghadap pagi ini ialah yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim selain Timbalan yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 3:37 PM