Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: "Dapat RM5 sehari memang sudah biasa dan kadang-kadang tidak berbaloi kerana nak beli ikan (lauk) pun tak lepas," kata pengayuh beca, Mohamad Husin.

Muhamad, 88, yang sudah lebih 60 tahun mengayuh beca mengakui pendapatan mereka semakin 'parah' dalam tempoh pandemik Covid-19 kerana penumpang berkurangan, malah ada kalanya langsung tiada orang menggunakan perkhidmatan beca pada hari tertentu.

"Sekarang kami hanya mengharapkan peraih sahaja yang menjadi penumpang dan tambang dikenakan tidak mahal iaitu RM5 sahaja bersama barang jualan mereka.

"Setiap pagi saya keluar dari rumah pada 6.30 pagi dan menjelang tengah hari sudah pulang berbanding dahulu menunggu hingga ke petang kerana penumpang masih ramai.

"Walaupun pendapatan diperoleh tidak menentu dan ada kalanya tiada langsung, saya dan pengayuh beca lain tetap mengayuh beca kerana sudah bertahun kami melakukan pekerjaan ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

MOHAMAD (dua dari kiri) bersama pengayuh beca menerima sumbangan daripada Muhamed Farid. FOTO Siti Rohana Idris
MOHAMAD (dua dari kiri) bersama pengayuh beca menerima sumbangan daripada Muhamed Farid. FOTO Siti Rohana Idris

Terdahulu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu, Datuk Muhamed Farid Muhamed Zawawi bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan kewangan kepada Muhamad dan 15 pengayuh beca lain.

Muhamed Farid berkata, perkhidmatan beca kini tidak lagi dilihat sebagai satu bentuk pengangkutan semata-mata, sebaliknya senarionya sudah berubah ke arah industri pelancongan.

Beliau berkata, beca akan kekal relevan dengan usaha dimainkan agensi terbabit dalam bidang pelancongan cuma ia perlu ditambah baik selari dengan perkembangan semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 11:50 AM