Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kesukaran mencari pendapatan ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu adalah antara cabaran ekonomi paling teruk pernah dihadapi pengayuh beca di negeri ini.

Pengayuh beca yang sebelum ini bergantung kepada kedatangan pelancong dari dalam dan luar negeri, kini hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan.

Situasi berkenaan menyebabkan pengayuh beca yang kebanyakan mereka sudah berusia terpaksa mengambil upah menghantar sayur ke restoran serta kedai makan yang berdekatan untuk mencari sumber pendapatan.

Ismail Dollah, 72, berkata, dia mula mengayuh beca pada tahun 1960-an dengan membeli beca pada harga RM300 daripada seorang individu.

"Walaupun kini sukar mendapatkan penumpang, namun saya tetap keluar mencari penumpang, jika tiada terpaksalah pulang dengan tangan kosong.

"Sebelum pandemik Covid-19, saya mampu meraih pendapatan sekitar RM50 sehari dengan membawa pelancong melawat di sekitar bandar Kota Bharu, namun sejak Mac tahun lalu pendapatan saya terjejas teruk hingga, malah ada ketikanya hanya memperoleh kurang RM10 sehari dan itu pun hasil belas ehsan orang ramai," katanya ketika ditemui di Dataran Muhammadi.

Bapa kepada 15 anak berusia antara 20 hingga 50 tahun ini berkata, kebiasaannya dia akan bertolak dari rumah sekitar jam 8 pagi dengan menunggang motosikal dari rumahnya yang terletak di Ketereh ke Pasar Besar Siti Khadijah kerana beca miliknya ditinggalkan berdekatan pasar ini sesudah mencari rezeki.

"Mengayuh beca sudah menjadi rutin hidup saya sejak lebih 50 tahun lalu. Meskipun sudah meniti usia saya masih mengayuh beca dengan kudrat yang ada.

ISMAIL Dollah sedang menunggu penumpang dan walaupun sedar sukar mendapatkan penumpang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ISMAIL Dollah sedang menunggu penumpang dan walaupun sedar sukar mendapatkan penumpang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Dalam keadaan pandemik sekarang, saya perlu bertawakal kerana amat sukar untuk mendapatkan walaupun seorang penumpang," katanya.

Sementara itu, Che Kamarudin Che Amat, 62, berkata, walaupun mengalami kesukaran mencari rezeki semasa pandemik Covid-19 melanda, namun dia bersyukur kerana masih ramai pihak yang prihatin dengan nasib pengayuh beca dan tampil menyampaikan bantuan.

"Kadang-kadang ada juga badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sumbangan barangan keperluan dapur seperti beras dan gula yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban.

"Sekarang ini agak susah sedikit kerana tidak ramai orang, jika dahulu pelancong dari dalam dan luar negeri menjadi antara penyumbang sumber pendapatan bagi pengayuh beca di negeri ini.

"Kini bagi mencari sumber pendapatan, saya mengambil upah menghantar sayur ke pasar dan restoran menggunakan beca dengan kadar upah yang diperoleh antara RM5 hingga RM10," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 3:33 PM