Hassan Omar

Alor Gajah: Seramai 22 murid Sekolah Kebangsaan Telok Berembang (SKTB) dan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina (SMKLC), di Lubok Cina, dekat sini, menjalani ujian calitan, hari ini.

Ia berikutan seorang murid lelaki tahun enam di SKTB dan abangnya di tingkatan dua SMKLC disahkan positif Covid-19 petang kelmarin.

Semua murid dan pelajar terbabit menjalani ujian berkenaan di SKTB berikutan kedudukan SMKLC yang hanya kira-kira 100 meter dari SKTB.

Tinjauan mendapati murid dan pelajar terbabit dibawa ibu bapa masing-masing untuk menjalani ujian berkenaan di SKTB.

Murid tahun enam, Arif Akmal Ahmad Mazli berkata, mereka diminta menjalani ujian berkenaan bagi mengesahkan sama ada dijangkiti pandemik berkenaan atau tidak.

"Kami adalah rakan sekelas seorang murid lelaki yang disahkan positif Covid-19 kelmarin dan kami diminta menjalani ujian itu hari ini," katanya.

Dia berkata, murid terbabit tidak hadir ke sekolah beberapa hari sebelum disahkan positif petang kelmarin.

"Saya berdoa Allah melindungi saya daripada bahaya dan berharap dapat bersekolah semula apabila sekolah dibuka pada 22 Oktober ini," katanya.

SKTB dan SMKLC ditutup selama tujuh hari mulai semalam berikutan dua beradik dikesan positif Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, kedua-dua kes berkenaan adalah kes di Negeri Sembilan dan mereka dirawat di Hospital Seremban.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Pendidikan negeri, murid tahun enam berkenaan tinggal di Kampung Nerambai di Lubok Cina, Rembau Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Lubok Cina di daerah Alor Gajah.

Murid terbabit bersama-sama lapan anggota keluarga mereka disahkan positif Covid-19 pada jam 5 petang kelmarin dan mereka sudah dibawa ke Hospital Seremban.

Siasatan mendapati murid terbabit mempunyai kontak rapat dengan ibu saudaranya yang positif Covid-19 dan baharu pulang dari Labuan.

MURID SKTB berbaris untuk menjalani ujian calitan di sekolah itu, di Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
MURID SKTB berbaris untuk menjalani ujian calitan di sekolah itu, di Lubok Cina dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 12:11 PM