GURU bersara dirai seperti pasangan mempelai.
GURU bersara dirai seperti pasangan mempelai.
Hassan Omar


Alor Gajah: Persis pengantin baru diarak di atas tandu. Itu sambutan diberikan kepada Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Maimunah Kassim, 60, yang bersara wajib pada majlis perpisahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina (SMKLC), Masjid Tanah, semalam.

Jasa dan bakti dicurahkan Maimunah selama 37 tahun, tujuh bulan dan 24 hari itu tidak boleh dibayar dengan wang ringgit kerana selain memberi ilmu kepada pelajar, dia turut berjasa meningkatkan kemudahan berkaitan Keselamatan, Kesihatan dan Keceriaan (3K) sekolah itu.

Sebagai Guru 3K, Maimunah atau lebih popular dalam kalangan guru dengan panggilan ‘Kak Mai’ bertanggungjawab membantu SMKLC muncul juara Pertandingan Keceriaan Mengibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka anjuran Jabatan Penerangan, Ogos lalu.

Program ‘Sulaman Kasih, Junjungan Budi’ anjuran warga SMKLC itu dimulakan dengan Maimunah dan suami, Abdul Rahman Mohd Noor, 63, dibawa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard sejauh tiga kilometer dari rumah mereka ke dewan SMKLC.

Sejurus tiba, Maimunah dan Abdul Rahman yang juga bekas pegawai Jabatan Penerangan disambut dengan paluan kompang oleh pelajar sebelum diarak di atas tandu disediakan khas untuk pasangan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 8:07 AM