Operasi mencari dan menyelamat warga emas, Ismail Awang, 83, dilakukan di Sungai Langgar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Operasi mencari dan menyelamat warga emas, Ismail Awang, 83, dilakukan di Sungai Langgar. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Ada orang nampak bapa mentua saya tenggelam timbul dua kali di permukaan air sebelum tenggelam," kata Mohd Amin Fardullha Muthu, 31, menantu warga emas yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Pekan Langgar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi, mangsa, Ismail Awang, 83, dikatakan keluar seorang diri untuk membeli sarapan di sebuah kedai yang terletak berhampiran sungai di sini, dengan menunggang basikal.

Mangsa dipercayai tergelincir, sebelum terjatuh dan tenggelam ke dalam sungai yang terletak di belakang kedai berkenaan.

Mohd Amin berkata, bapa mentuanya keluar rumah di Jalan Market, di sini seawal 7 pagi dan sudah menjadi rutin hariannya membeli nasi lemak di kedai itu.

"Saya menerima berita mengenai kejadian menimpa bapa mentua daripada penduduk kampung dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Pagi tadi, dia nampak pelik kerana jam 4 pagi sudah bangun nak keluar beli sarapan tetapi saya halang kerana ketika itu masih awal pagi.

"Lepas Subuh, saya tengok dia sudah bersiap untuk keluar, walaupun dihalang dia tetap juga keluar," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Alor Setar dan Jitra sedang dilakukan.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra sudah berada di lokasi untuk meninjau keadaan sebelum melakukan selaman.

"Keadaan air deras di sungai berkenaan antara cabaran yang ditempuhi anggota bomba untuk melakukan operasi ini," katanya.

Mohmadul Ehsan berkata, kedalaman sungai itu dianggarkan lima meter dan jarak mangsa jatuh ke tempat dihanyutkan air 30 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:47 PM