HASANAH ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
HASANAH ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Kuala Lumpur: Saksi-saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dijangka selesai memberi keterangan dalam tempoh sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhamad Asyraf Md Kamal memaklumkan perkara itu semasa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh perbicaraan baharu hari ini.

Semasa ditanya Ahmad Shahrir mengenai masa yang diperlukan pihak pendakwaan untuk memanggil baki saksi bagi memberi keterangan, Muhamad Asyraf berkata: "termasuk 11 saksi yang akan memberi keterangan secara tertutup, pihak kami menjangkakan dalam tempoh sebulan".

Setakat ini pihak pendakwaan sudah memanggil empat saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 6 Oktober.

Sebelum ini pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 37 saksi termasuk 11 saksi yang akan memberi keterangan secara tertutup itu.

Ahmad Shahrir menetapkan 5 hingga 16 April, 3 hingga 7 Mei dan 24 hingga 28 Mei untuk menyambung perbicaraan.

Terdahulu Muhamad Asyraf memohon supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan hari ini hingga Khamis ini dilapangkan kerana TPR Muhammad Iskandar Ahmad yang tinggal di Klang tidak dapat hadir berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sekiranya perbicaraan berlangsung tanpa kehadiran beliau, ia akan menjejaskan pasukan pendakwaan memandangkan beliau ketua pasukan pendakwaan dan segala arahan datang daripada beliau. Beliau juga mempunyai saksi-saksinya sendiri," katanya.

Muhamad Asyraf berkata mengambil kira juga perintah PKPB yang akan turut diperluaskan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, ia akan memberi kesan kepada saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan.

"Pihak pendakwaan memohon sekiranya mahkamah dapat melapangkan tarikh bicara yang ditetapkan sebelum ini dan menetapkan tarikh baharu," katanya.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah tidak membantah permohonan itu.

Ahmad Shahrir berkata, mahkamah bertanggung jawab bagi memastikan PKPB dipatuhi dan membenarkan penangguhan.

"Oleh yang demikian perbicaraan kes ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 1:17 PM