Ruwaida Md Zain

Klang : Polis menambah dua lagi lokasi baru sekatan jalan raya (SJR) bermula jam 4 petang tadi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lokasi terbabit adalah Taman Sentosa (jalan masuk ke Perdana Villa) dan Jalan Sungai Udang, Kampung Delek Klang (bersebelahan Restoran Aishah).

"Penambahan dua lokasi SJR itu, menjadi keseluruhan SJR di kawasan Klang Selatan sebanyak enam lokasi.

"SJR yang sudah dilaksanakan bermula 9 Oktober adalah di Bukit Tinggi (Taman Bayu Perdana) dan Taman Sri Andalas.

"Pada 10 Oktober pula, pelaksanaan SJR di Bandar Puteri dan Taman Suria Pendamar, Pandamaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

"Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-33762400 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan," katanya.

ANGGOTA polis dibantu tentera memeriksa dokumen pergerakan di sekatan jalan raya Jalan Batu Unjur 10, Klang. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA polis dibantu tentera memeriksa dokumen pergerakan di sekatan jalan raya Jalan Batu Unjur 10, Klang. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 5:48 PM