MOHD Amin mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Daerah Klang. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri Selangor.
MOHD Amin mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Daerah Klang. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri Selangor.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengumumkan perincian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang bagi penyelarasan dan keseragaman maklumat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya mewakili saya bagi mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan PKPB Daerah Klang pagi tadi.

"Selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai agensi dan jabatan, Kerajaan Negeri menyampaikan segala maklum balas dan cadangan berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (dengan beberapa ubah suai) kepada Sidang Khas MKN bersama Perdana Menteri secara maya pada 11 pagi tadi, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus mengadakan saringan bersasar Covid-19 di kawasan merah sebagai langkah lanjutan bagi mengawal penularan wabak ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan sebanyak tujuh Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dijalankan pihaknya di sempadan daerah Klang.

"Pihak polis akan adakan tujuh SJR di pintu keluar dan masuk ke Klang. Segala perincian akan dimaklumkan oleh polis Daerah Shah Alam, Klang Selatan dan Klang Utara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 1:41 PM