Ruwaida Md Zain

Klang: Polis menutup jalan di 10 lokasi dan melaksana lima sekatan jalan raya (SJR) di Mukim Klang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Oktober.

Ia membabitkan Klang Selatan dan Klang Utara itu dengan pelaksanaan bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tiga SJR dan tujuh penutupan jalan di kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas, antaranya, Persiaran Pegaga (berhadapan Restoran Subaidah) dan Jalan Kim Chuan (berhadapan 99 Speedmart), Jalan Batu Unjur 9 dan Jalan Tun Dr Ismail.

"Jalan yang ditutup di hadapan Masjid Ar Rahimiah, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53," katanya dalam kenyataan hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Beliau meminta penduduk di kawasan terbabit untuk mendapatkan surat kebenaran polis untuk keluar masuk ke kawasan Bukit Tinggi.

"Tiada keperluan untuk mendapatkan surat kebenaran atau permit khas untuk pergerakan di kawasan lain setakat ini," katanya yang memberitahu orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-33762400.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dua SJR di Kampung Kuantan iaitu Jalan Bukit Kuda (Depan Emy Cookies & Food) dan Jalan Bukit Kuda (Simpang Lorong Lintang Raksa 2).

Katanya, jalan yang ditutup pula adalah Lorong Perak, Jalan Raksa 3 – Depan Jihas Bakery dan Jalan Raksa 4.

"Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda perlu mendapatkan surat kebenaran daripada balai polis bergerak dan khemah polis," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 Klang Utara di talian 03-32913344.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 9:00 AM