Semua sekolah di daerah Klang, Selangor dan di daerah Sandakan, Papar serta Tuaran, Sabah akan ditutup susulan wabak Covid-19 yang berlaku. FOTO FATHIL ASRI
Semua sekolah di daerah Klang, Selangor dan di daerah Sandakan, Papar serta Tuaran, Sabah akan ditutup susulan wabak Covid-19 yang berlaku. FOTO FATHIL ASRI
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Semua sekolah yang disahkan berada dalam zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditutup bermula esok sehingga 23 Oktober hadapan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, semua sekolah di daerah Klang, Selangor dan di daerah Sandakan, Papar serta Tuaran, Sabah akan ditutup susulan wabak Covid-19 yang berlaku.

Menurutnya, ia akan membabitkan sebanyak 142 sekolah di daerah Klang dan 242 sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah.

"Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

"Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama terbabit untuk pulang," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak sekolah.

"Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid," katanya.

Katanya, manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.

"Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terbabit dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

"Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM," katanya.

Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:29 PM