PENGAWAL keselamatan, Parameswary menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara. FOTO Bernama
PENGAWAL keselamatan, Parameswary menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditutup bermula esok serta Rabu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan itu mengambil perhatian pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri berkenaan.

"Semua institusi pendidikan berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah akan ditutup bermula esok sehingga 26 Oktober.

"Keputusan ini membabitkan 1,336 institusi dengan 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang ditutup di daerah dikenakan PKPB sebelum ini," katanya.

Sementara itu, bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, matrikulasi dan IPG akan ditutup mulai 14 Oktober (Rabu) sehingga 27 Oktober.

Ia membabitkan 1,088 institusi dengan 935,984 murid dan pelajar di Selangor, 344 institusi (254,639 murid dan pelajar) di Kuala Lumpur serta 29 institusi (31,917 murid dan pelajar) di Putrajaya.

Menurut kenyataan itu lagi, penutupan juga membabitkan sekolah asrama.

"Justeru, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

"Bagaimanapun, murid dan pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan minum sepanjang tempoh itu akan disediakan institusi berkenaan.

"Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil anak dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi dan pentadbir akan mengeluarkan surat. Ia sebagai rujukan pihak berkuasa sekiranya perlu merentas daerah untuk mengambil anak pulang dari asrama," katanya.

Katanya, bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang tempoh PKPB perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan perlu diberi perhatian dan melaksanakan pengajaran serta pembelajaran di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 11:03 PM