POLIS Bantuan UiTM memeriksa suhu penuntut yang masuk ke kampus di Lendu.  FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
POLIS Bantuan UiTM memeriksa suhu penuntut yang masuk ke kampus di Lendu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Asrol Awang


Kuantan: Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berasal dari Pahang yang tinggal di luar kampus diminta menghubungi Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di IPTA masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan yang bersesuaian kepada mereka.

"Penuntut yang menetap di luar kampus memaklumkan kedudukan mereka sama ada melalui MAMPAN, Bahagian HEP IPTA masing-masing atau kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO Pahang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang mengambil berat isu penuntut iaitu anak Pahang yang sudah mendaftar masuk di IPTA dan berada lebih awal di tempat tinggal sewaan masing-masing.

Katanya, ini susulan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya pelajar tidak perlu mendaftar secara fizikal tetapi melakukannya menerusi dalam talian.

"Bagi yang sudah mendaftar dan tinggal di asrama yang IPTA sediakan seperti arahan yang dikeluarkan oleh KPT, mereka diminta kekal berada di sana sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

"Arahan ini berikutan berlakunya peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:45 PM