GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran untuk meneliti cadangan penangguhan bayaran kemasukan atau yuran pendaftaran bagi sesi baharu, bulan depan.

Cadangan itu termasuklah penuntut baharu diberi kelonggaran agar proses pembayaran yuran pendaftaran mereka dapat ditangguh untuk sekurang-kurangnya satu semester atau sehingga pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diluluskan.

Ketua Biro Pendidikan Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhammad Zikri Zulkifli berkata, sudah menjadi kebiasaan sebelum ini untuk penuntut membayar yuran pendaftaran menggunakan wang mereka sendiri dahulu.

"Pandemik Covid-19 bukan saja memberi ancaman kesihatan yang besar terhadap negara, malah turut memberi kesan terhadap sektor ekonomi.

"Menurut pengumuman KPT, pelajar Institusi Pengajian Tinggi termasuklah awam dan swasta akan mula kembali ke kampus secara fizikal mulai bulan Oktober. Kemasukan ini juga bakal membabitkan pendaftaran pelajar baharu ke kampus masing-masing di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Zikri berkata, pihaknya mencadangkan agar proses pendaftaran dan kemasukan dapat dipermudahkan.

"Kami berharap agar tidak ada pelajar yang terpaksa menolak tawaran sambung belajar akibat kekangan untuk membayar yuran pendaftaran yang boleh mencecah sehingga RM2,000.

"Armada juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KPT yang memberikan potongan sebanyak 20 peratus daripada jumlah yuran pengajian bagi semester 2021/2022 di IPTA seluruh negara yang memberi manfaat kepada sekitar 500,000 orang pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 10:50 AM