MOHD Nazip (kanan) melihat petugas melakukan sanitasi seluruh bas. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Nazip (kanan) melihat petugas melakukan sanitasi seluruh bas. FOTO Faiz Anuar.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lebih 16,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari seluruh kampus dijangka pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing menerusi Ops Pulang Aidilfitri bermula pagi esok.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (HEP), Profesor Dr Mohd Nazip Suratman berkata, Ops ini membabitkan 30 kampus dan lebih 700 kakitangan.

"Bagi melancarkan penghantaran pulang, UiTM menyediakan lebih 200 unit kenderaan yang terdiri daripada bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta.

"Agihan bilangan kenderaan yang diperlukan di setiap kampus mengikut zon akan ditentukan dalam masa terdekat selepas kesemua penuntut melengkapkan borang soal selidik yang diedarkan.

"Penghantaran pulang penuntut secara berperingkat ini akan bermula esok sehingga 12 Mei depan.

"Esok dijangkakan bas akan berlepas jam 9 pagi ke Zon Utara iaitu UiTM Arau," katanya dalam sidang media ketika meninjau persiapan akhir termasuk proses sanitasi bas di perkarangan Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam di sini, hari ini.

PETUGAS melakukan sanitasi di dalam bas bagi membuat persediaan penghantaran pulang penuntut UiTM mulai esok. FOTO Faiz Anuar.
PETUGAS melakukan sanitasi di dalam bas bagi membuat persediaan penghantaran pulang penuntut UiTM mulai esok. FOTO Faiz Anuar.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr Shahsuzan Zakaria.

Mohd Nazip berkata, UiTM Shah Alam sudah membuat koordinasi dengan semua kampus cawangan berhubung perjalanan pulang ini.

"Kami sudah bersedia dengan penghantaran ini, kita sudah membuat koordinasi dengan seluruh kampus dengan menyediakan satu kaedah tersusun.

"Contohnya penuntut dari UiTM Shah Alam yang akan pulang ke Perlis akan dihantar ke kampus UiTM Arau. Bas yang membawa penuntut dari UiTM Shah Alam ke kampus Arau itu, akan kembali ke sini dengan membawa penuntut dari Arau ke UiTM Shah Alam.

"Begitulah seterusnya seperti dari UiTM Shah Alam ke Terengganu, Melaka, Pahang, Johor dan sebagainya. Esok perjalanan ke Utara terlebih dahulu kerana kita sudah membuat pembahagian mengikut iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur," katanya.

Beliau berkata, bagi kampus UiTM Shah Alam, seramai 2,000 penuntut yang akan pulang ke rumah keluarga masing-masing.

"Penuntut yang berada di sini sekarang adalah pelajar yang perlu melakukan 'hands on' seperti kerja makmal, bengkel dan studio.. mereka yang sudah menyelesaikan tugasan terus pulang dan tidak kembali ke kampus, tiada keperluan untuk datang.

"Tetapi akan ada kumpulan penuntut baru datang, itu tertakluk kepada kenyataan rasmi akan datang memandangkan UiTM berada di dalam daerah Petaling yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, Ops Pulang Aidilfitri ini turut membabitkan kerjasama padu seluruh jentera pengurusannya dari pelbagai jabatan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) bagi memastikan operasi ini berjalan dengan lancar, mematuhi SOP serta semua penuntut tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Dalam pada itu katanya, UiTM akan terus menyantuni penuntut yang tidak pulang seperti dari Sarawak dan memilih untuk terus tinggal di kampus sebaik mungkin supaya suasana Aidilfitri dapat diraikan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:06 PM