Noraini Ahmad ketika sidang media. FOTO Ihsan FB Kementerian Pengajian Tinggi
Noraini Ahmad ketika sidang media. FOTO Ihsan FB Kementerian Pengajian Tinggi
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Institut Pengajian Tinggi (IPT) perlu menentukan jadual pergerakan penuntut yang akan kembali ke kampus bagi memastikan keselamatan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, IPT mesti menyediakan perancangan teliti dengan mengenal pasti penuntut dan memastikan mereka melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

Katanya, pergerakan penuntut kembali ke kampus berdasarkan kepada dua perkara iaitu surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan bagi IPT di Semenanjung, manakala bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan kerajaan negeri masing-masing.

"Penuntut perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjalani ujian calitan RT-PCR.

"Ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan," katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT secara maya, hari ini.

Beliau berkata, pengukuhan SOP di kampus amat ditekankan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Justeru, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan supaya IPT menyediakan pusat pengasingan di tempat masing-masing bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan.

Katanya, pihak IPT juga digalakkan untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada penuntut yang kembali ke kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 3:31 PM