Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) membenarkan penuntut kembali ke kampus bagi mengambil barangan peribadi bermula 15 Jun ini.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Profesor Dr Azizan Abdullah berkata, kebenaran itu akan dilakukan secara berperingkat dengan penuntut diminta mengosongkan kolej kediaman masing-masing.

"Pihak UiTM menerima banyak permohonan daripada penuntut untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barangan peribadi khususnya buku rujukan dan komputer riba bagi aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

"Sehubungan itu, kebenaran ini diberi dan tertakluk ketetapan tarikh dan masa yang ditentukan oleh pihak pengurusan kolej kediaman masing-masing," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Twitter UiTM.

Beliau berkata, maklumat terperinci mengenai proses itu dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi penuntut akan dimuat naik di laman web rasmi UiTM, Khamis ini.

Dr Azizan berkata, kebenaran itu bagaimanapun mengecualikan UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan kerana sudah diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Universiti akan memaklumkan kemudian bagi penuntut kampus itu," katanya yang menasihati penuntut supaya patuh SOP bagi mengelak perkara tidak diingini terutama jangkitan Covid-19.

Sementara itu, UiTM akan meneruskan aktiviti PdP secara dalam talian sehingga 31 Disember kecuali bagi penuntut yang dibenarkan ke kampus untuk kuliah secara bersemuka.

Ia selaras dengan SOP Pengurusan Operasi Institusi Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Wabak Covid-19 menerusi Surat Pemakluman Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada 3 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 12:37 PM