GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai boleh membeli ayam pada harga antara RM5.50 hingga RM6 seekor di promosi jualan ayam murah selama dua hari bermula esok, anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Jualan ayam jenama Peladang (1.2 kilogram(kg)) dan RM11 seekor bagi ayam potong jenama Peladangku (2 kg) itu adalah sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut NAFAS dalam kenyataannya hari ini, promosi hasil kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu akan dianjurkan di lapan negeri serta lokasi terpilih.

Lokasi penjualan ayam itu ialah di PPK Mata Ayer Perlis, PPN Pulau Pinang, Agrobazar Rakyat PPK Kubur Panjang, Kedah dan Peladang BizCentre Batu Pahat Tengah, Johor yang berlangsung esok.

Lokasi lain ialah di Peladang Mart, PPN Selangor, Shah Alam; Surau Ar Rahim Presint 15, Putrajaya; Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Jasin, Melaka; Peladang BizCentre Batu Pahat Tengah, Johor dan PPHP PPK Maras Kuala Terengganu, Terengganu. Tarikh jualan di negeri ini ialah pada 11 dan 12 Mei.

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada Khamis ini.

Menurut kenyataan itu, seorang pembeli dihadkan membeli dua pek ayam sahaja bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati harga promosi berkenaan.

"Jualan juga hanya terhad kepada 2,000 ekor ayam bagi setiap lokasi," katanya.

Produk ayam jenis super dan standard jenama Peladang adalah dijamin bersih, berkualiti dan halal yang diproses di kilang NAFAS Food Processing & Marketing Sdn Bhd di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Ayam Peladangku pula adalah ayam potong keluaran PPN Selangor yang segar dari ladang, keluaran bumiputera dan dijamin halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:16 PM